Pada suatu petang, aku bersama putri dan putraku sedang dalam perjalanan pulang ke rumah setelah makan tengahari di Seoul Garden, restoran korea kegemaran keluargaku. Sebaik sahaja kami sampai di Semabok, tiba-tiba aku terlihat satu kemalangan jalanraya di hadapanku. Semua kenderaan yang melewati jalan tersebut memperlahankan kereta untuk melihat kejadian kemalangan itu. Tiba-tiba aku terpandang seorang wanita yang agak berusia terduduk di bahu jalan dengan mukanya berlumuran darah. Jantungku berdegup kencang melihat keadaan wanita itu. Perasaan belas kasihan menyelubungiku. Aku terdengar suara putriku, Nurul memintaku memberhentikan kereta dan menolong wanita tersebut. Aku sependapat dengan usulan putriku. Lalu aku pun memperlahankan dan memberhentikan kereta bersebelahan wanita tersebut.
Motosikal kepunyaan wanita malang itu agak remuk juga. Tidak ketinggalan kelihatan sepasang kasut wanita malang itu tercampak di atas jalanraya. Aku dapat melihat sebuah kereta Viva berwarna oren yang melanggar wanita itu beberapa ela di hadapan jalanraya. Kelihatan pemandu kereta Viva itu, seorang gadis muda tercegat bersebelahan keretanya. Aku percaya gadis itu terperanjat dengan terjadinya kemalangan yang tidak disangkanya……….itulah sebabnya gadis itu kelihatannya cuma mampu untuk tercegat di situ sahaja tanpa dapat memikirkan beliau seharusnya membawa wanita yang dilanggarnya itu ke hospital dengan segera.
Kelihatan ramai orang sedang mengkerumuni wanita malang itu. Aku pun keluar dari keretaku lalu menuju ke arah wanita tersebut. Kelihatan wanita itu dalam keadaan trauma dengan kemalangan yang menimpa dirinya. Aku merapati wanita malang itu yang sedang duduk dengan wajahnya berlumuran darah. Orang ramai yang berkerumuni wanita itu hanya dapat memerhati sahaja kerana kebanyakannnya membonceng motosikal. Belum sempat aku bertanya khabar, kelihatan sebuah kereta peronda polis berhenti di tempat kejadian. Aku melihat seorang pegawai polis turun dari kereta peronda itu dan menghampiri aku lalu bertanyakan situasi bagaimana kejadian kemalangan itu boleh terjadi. Pegawai polis itu kira aku yang telah melanggar wanita itu. Saksi-saksi yang ada di situ menjelaskan peristiwa yang sebenar kepada pegawai polis itu. Aku pun memberitahu pegawai polis tersebut tentang hasratku untuk membawa wanita malang itu ke hospital.Pegawai polis itu mengizinkan dan mencatitkan nombor plet keretaku. Aku mengambil sepasang kasut yang tercampak kepunyaan wanita itu berserta dengan beg tangannya. Dengan bantuan salah seorang saksi yang ada, aku pun membantu memapah wanita malang itu ke dalam keretaku. Sebelum bertolak, dengan informasi yang diberikan oleh wanita itu, aku sempat menghubungi salah seorang anak lelaki wanita itu dan memberitahu keadaan ibunya yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
-
-
-
-
-
Dengan bantuan dan kawalan yang diberikan oleh pegawai polis itu, aku pun menghidupkan enjin keretaku. Wanita malang itu duduk di tempat duduk belakang keretaku ditemani oleh putriku, Nurul sementara putraku duduk di bahagian hadapan bersebelahan dengan tempat dudukku. Dalam perjalanan ke hospital, aku terdengar suara wanita itu mengerang kesakitan. Hatiku berdebar-debar bercampur cemas. Sesekali aku menjeling ke cermin untuk melihat keadaan wanita malang itu. Aku tidak putus-putus memberi perangsang dan cuba menenangkan wanita tersebut. Suara mengerang wanita itu masih kedengaran jelas di telingaku. Sambil memandu, aku tidak putus-putus membaca surah-surah yang ku tahu dalam hati kecilku. Hanya ALLAH sahaja yang tahu bagaimana perasaanku ketika itu. Sesekali aku menjeling ke arah cermin dan aku dapat melihat wajah putriku agak cemas menemankan wanita malang itu. Aku memandu keretaku dengan cermat kerana aku sedar aku sedang membawa seorang wanita yang agak berusia dalam keadaan wajahnya berlumuran darah. Aku tidak mahu sesuatu buruk lagi terjadi kepada wanita malang itu……..ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Keretaku mula menghampiri kawasan hospital. Aku memberhentikan keretaku bersebelahan dengan wad kecemasan. Sebaik sahaja aku mematikan enjin kereta, aku pun turun dari kereta dan memaklumkan kepada kakitangan hospital yang bertugas tentang wanita malang yang berlumuran darah itu. Sebaik sahaja mereka mendengar penjelasanku, salah seorang kakitangan hospital membawa sebuah kerusi roda dan memapah wanita malang itu duduk di atas kerusi roda berkenaan lalu menolaknya masuk ke dalam bilik kecemasan. Kelihatan seorang pegawai polis bertugas, namanya Encik Mohamad menghampiriku dan bertanyakan kejadian kemalangan itu. Aku pun menjelaskan bahawa wanita malang itu telah dilanggar oleh seorang gadis yang memandu sebuah kereta Viva berwarna oren. Aku menyerahkan kasut dan beg tangan kepunyaan wanita malang itu kepada polis bertugas, Encik Mohamad. Setelah memberi statement dan informasi yang diperlukan kepada pegawai polis itu, aku pun beredar dari kawasan hospital.
Aku berasa syukur dan lega sekali setelah dapat membawa wanita malang itu dengan selamat ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Dalam perjalanan pulang dan setibanya aku di Semabok yakni di tempat kejadian kemalangan itu, aku lihat pegawai polis bersama-sama dengan gadis yang melanggar wanita malang itu, masih berada di tempat kejadian. Aku menggelengkan kepalaku kerna bagiku, seharusnya mereka sudah beredar dari kawasan kemalangan itu dan membuat lapuran polis tentang kejadian kemalangan itu. Apa-apapun itu hanya pandanganku sahaja. Aku percaya polis lebih arif dan tahu tugasan mereka.
Akhirnya, aku sampai juga ke rumahku. Dengan keadaan letih, aku dan kedua-dua anakku pun melangkah masuk ke dalam rumah. Namun hatiku seperti tidak tenang selagi belum mengetahui keadaan wanita malang itu. Lima minit kemudian, aku pun menghubungi anak lelaki wanita malang itu, Azmi untuk mengetahui keadaan ibunya. Anaknya memberitahu aku bahawa ibunya sedang dirawat oleh pakar dan keadaannnya stabil. Lega hatiku mendengarnya. Sebaik sahaja suamiku pulang dari kerja, kedua anak-anakku memberitahu suamiku tentang kejadian kemalangan itu. Suamiku bangga denganku dan anak-anakku kerna niat suci dan ikhlas kami, kami telah berjaya menyelamatkan nyawa wanita malang itu. Itulah pengalaman kami yang tidak dapat kami lupakan.
p/s: i pernah bgtau pasal incident niw kan..Just xde tyme je nak story..So memandangkan mama extra sel 'rajin' , senang la keja i kan! hehe thank you mama sebab dah mudahkan kerja putri mu ini! wink! ;)
Moral of the story: xrugi kita tolong mereka yang di dalam kesusahan.. Nilai murni perlu ada dalam diri ye! Apa guna blajar Pendidikan Islam n Moral kat skolah dulu kalau xditerapkan dalam diri??? What you give, you'll get back! Hope that ada yang sudi membantu jika kami pula yang didalam kesusahan! Bukan doa yang xbaik ye! Just mengingatkan diri.. Langit xselalu cerah! "Renung-renungkan dan selamat beramal! " :)
0 comments:
Post a Comment